Kemahiran: Membaca
Arahan: Baca bahan-bahan di bawah ini dengan teliti. Anda tidak perlu menyalin Petikan 1 dan Petikan 2. Hanya perlu salin soalan dan jawab soalan-soalan tersebut menggunakan ayat sendiri.
*********************************************************************
Petikan 1
Selepas berunding beberapa minit, keluarga Talia dibawa oleh Sidek membuat aduan di sebuah balai polis. Kemudian, mereka menumpangi kereta api yang dipandu Sidek.
Kawasan lombong lengang sewaktu mereka tiba di sana. Hanya ada beberapa orang lelaki yang masih meneruskan kerja di sekitar lombong dan stesen kereta api.
Sempadan rimba di antara lombong dengan Bukit Ungu sudah musnah, digantikan dengan jalan ternganga. Jentera-jentera berat yang menumbangkan pokok-pokok ceruyu tampak kecil di hujung jalan. Di situ, tompok-tompok pondok berlatarkan huma yang menghijau tampak bagai butir gula dihurungi semut.
*********************************************************************
Petikan 2
Bagaikan menunggu masa untuk musibah melanda apabila penerokaan hutan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan di Hutan Simpan Teranum, berhampiran Tras. Penerokaan haram ini dibimbangi akan menyebabkan hakisan tanah dan banjir lumpur seterusnya membahayakan penduduk yang berhampiran. Malah, kawasan penerokaan yang dipercayai berlaku sejak 10 bulan yang lalu begitu luas kerana membabitkan 146 hektar dan lebih buruk lagi turut menjejaskan Sungai Delam yang dikategorikan sebagai kelas pertama dari segi kebersihan air sungainya.
Jika Sungai Delam tercemar, pasti menjejaskan ribuan penduduk berhampiran yang bergantung kepada sumber itu untuk mendapat air bersih selain pengusaha ikan air tawar dan pemilik pusat peranginan turut mengalami kerugian. Selain itu, kejadian banjir lumpur atau tanah runtuh kemungkinan boleh berlaku terutama pada musim tengkujuh sekali gus membahayakan penduduk kampung orang asli yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi penerokaan hutan itu.
1. Berdasarkan Petikan 1 dan Petikan 2, apakah isu utama yang diperkatakan? (2 markah)
2. Berdasarkan petikan-petikan tersebut, apakah kesannya sekiranya hutan tidak dipelihara? (4 markah)
3. Penerokaan hutan secara berleluasa dan tidak terancang akan mendatangkan banyak keburukan kepada manusia dan alam sekitar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang wajar dilakukan bagi melestarikan hutan? (4 markah)