Ahad, 4 Julai 2021

T2 - BM - Latihan Ringkasan

 Kemahiran Menulis


Rangka penulisan ringkasan, boleh rujuk nota berikut >> KLIK SINI


TUGASAN

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah perniagaan dalam talian kepada peniaga. Panjang tingkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Anda tidak perlu menyalin semula teks di bawah.

                                  

Perniagaan dalam talian amat popular dan digemari oleh masyarakat pada masa ini. Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jumlah peniaga dalam talian yang berdaftar semakin meningkat saban tahun. Perniagaan dalam talian mudah dibina dan dijalankan dengan modal yang lebih rendah. Peniaga secara dalam talian dapat menguruskan perniagaannya secara bersendiri tanpa perlu mengupah pekerja. Oleh itu, mereka yang berasa risau untuk memulakan perniagaan dengan cara membuka kedai boleh memulakan perniagaannya secara dalam talian terlebih dahulu. 

Kos untuk memulakan perniagaan tinggi tetapi perniagaan dalam talian tidak melibatkan kos ubah suai kedai. Selain itu, perniagaan dalam talian berisiko rendah berbanding dengan perniagaan biasa. Hal ini demikian kerana mereka tidak perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk membeli aset seperti bangunan, alatan, dan kelengkapan semasa memulakan perniagaan. Wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk pembelian stok dan kos reka cipta laman web. 

Di samping itu, pelanggan perniagaan dalam talian adalah tidak terhad. Peniaga dalam talian boleh menjalankan perniagaannya di seluruh dunia kerana melalui internet segala maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat, Perniagaan dalam talian juga memberikan peluang kepada peniaga untuk menjalankan perniagaannya selama 24 jam. Teknologi yang canggih pada zaman ini memberikan manfaat kepada pengguna untuk melayari internet pada setiap masa. Dengan itu, peluang untuk pengguna melayari laman web peniaga dan berurus niaga pada bila-bila masa sangat tinggi. Sebagai peniaga dalam talian, mereka juga dapat menikmati kebebasan tempat bekerja. 

Dengan menjalankan perniagaan secara dalam talian, peniaga bebas untuk menjalankan perniagaan di mana-mana tempat, dalam perjalanan Ke sesuatu tempat, semasa melancong atau sedang bercuti di tempat pelancongan. Peniaga tetap boleh mengawal segala urus niaga perniagaan secara dalam talian asalkan dapat mengakses Internet. 


Dipetik daripada 'Kelebihan Perniagaan dalam Talian, 

Rohaizan Abdullah, Dewan Siswa bil.2, 2017


 

PERINGATAN!
--Sila jawab soalan dalam buku Menulis atau jika tiada sila jawab dalam testpad 📖📑
--Murid tidak perlu menyalin teks ringkasan.
--Setelah siap menjawab, ambil gambar jawapan dan PM cikgu di Whatsapp.
--Selamat belajar secara norma baharu! Jaga diri, basuh tangan secara kerap dan tidak perlu keluar rumah jika tiada urusan yang penting #DudukDiRumah 🏡