Senarai Tugasan PdPR 4.0 Tahun 2021

Khamis, 2 September 2021

T2 - BM - Latihan Ringkasan

Kemahiran Menulis

Murid-murid boleh merujuk rangka penulisan ringkasan di sini >> KLIK SINI


Latihan 1

Baca petikan di bawah ini dengan telitinya. Berdasarkan petikan tersebut, tulis ringkasan tentang langkah-langkah untuk mengatasi penularan berita palsu di media sosial. Panjangnya ringkasan anda hendaklah antara 80 hingga 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. 


        Menurut hasil kajian yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), jumlah pengguna Internet di Malaysia hampir melebihi 30 juta orang. Namun begitu, sejauh manakah pengguna media sosial mempercayai berita yang ditulis dan diterbitkan dalam media sosial? 

        Inilah senario yang berlaku di serata dunia, termasuklah Malaysia, selagi terdapat individu yang cuba menyalahgunakan platform sedia ada untuk kepentingan peribadi mereka. Barangkali inilah antara sebab kes salah guna media sosial yang melibatkan penyebaran berita palsu semakin menular dewasa ini. 

        Agensi penguat kuasa, seperti Polis Diraja Malaysia dan SKMM telah bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekang penyebaran berita palsu dan salah guna media sosial. Namun demikian, usaha tersebut tidak seharusnya terhenti di situ sahaja. Rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang perlu digalas bagi memastikan penyebaran berita palsu tidak akan berakhir dengan tindakan penguatkuasaan semata-mata. 

        Selain itu, setiap inidividu perlu berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak menvebarkan atau memuat naik sesuatu berita sensasi. Pada masa yang sama, pengguna media sosial wajar menyemak kesahihan sesuatu maklumat yang diterima lebih dahulu sebelum bertindak untuk menyebarkannya kepada orang lain. 

        Seterusnya, pengguna media sosial dinasihati tidak sesekali berasa ghairah dan terus menekan butang klik tanpa membaca kandungan artikel secara mendalam lebih dahulu, Dalam konteks ini, manfaatkanlah kebijaksanaan akal fikiran sendiri untuk membezakan berita yang sahih atau sebaliknya. Jangan sesekali membiarkan berita palsu ini meracuni pemikiran rakyat sehingga mereka tidak dapat membezakan perkara yang benar daripada yang palsu. 

        Oleh itu, setiap individu mestilah sentiasa peka, prihatin dan bersiap-siaga untuk menangkis sebarang berita palsu yang mungkin mampu memporak-perandakan kesejahteraan negara.


(Sumber: Gerak Gempur PdPR SASBADI)


Latihan 2

Baca petikan di bawah ini dengan telitinya. Berdasarkan petikan tersebut, tulis ringkasan tentang inisiatif-inisiatif memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor pendidikanPanjangnya ringkasan anda hendaklah antara 80 hingga 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. 


        Kedudukan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan semakin lama semakin dipandang enteng oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif harus dirancang dan diimplementasikan dalam mengangkat martabat bahasa Melayu dalam sektor pendidikan.

        Antara langkah yang sepatutnya diambil ialah guru-guru di sekolah perlu mengajar pelajar menguasai ilmu bahasa Melayu dengan berkesan. Dalam pada itu, guru boleh mengajar dengan menggunakan bahasa yang mudah dan melaksanakan aktiviti yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu di dalam kelas seperti aktiviti menyanyi dan bercerita. 

        Selain itu, guru seharusnya bersifat proaktif dan kreatif dalam mempelbagaikan sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mereka perlu menyediakan alat bantu mengajar yang sesuai dalam pengajaran Bahasa Melayu dalam kelas. Pelbagai pertandingan juga boleh dianjurkan oleh pihak sekolah seperti pertandingan bercerita, menulis cerpen, dan berpidato untuk menarik minat pelajar mempelajari bahasa Melayu. Menerusi pendekatan begini, sudah pasti para pelajar lebih tertarik dan berasa seronok dengan bahasa Melayu. Hal ini secara tidak langsung dapat mendedahkan kepentingan bahasa Melayu dengan mudah dan berkesan.
        
        Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu dalam sanubari rakyat, pihak badan berkanun di bawah kerajaan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka harus merencanakan dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat menggapai minat pelajar terhadap keindahan bahasa Melayu. Pelbagai dimensi pertandingan dan hiburan boleh diadakan seperti sayembara puisi dan pidato peringkat antarabangsa untuk memperkenalkan bahasa kebangsaan di persada sejagat. 
        
        Selain itu, pihak Kementerian Pendidikan juga seharusnya menggalakkan pihak sekolah atau universiti melanggan majalah terbitan DBP seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Kosmik, dan sebagainya untuk menggalakkan amalan membaca dan memberikan pendedahan tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pelajar. 

        Kesimpulannya, setiap pihak haruslah berpadu tenaga dan tidak hanya bersikap berpeluk tubuh dalam usaha melonjakkan martabat bahasa Melayu, terutamanya dalam sektor pendidikan. 

(Dipetik dan diubah suai daripada 'Bahasa Melayu Sebagai Benteng Jati Diri Generasi Muda' oleh Muhammad Haziq, Dewan Siswa bil. 10, 2018)



PERINGATAN!
--Sila buat tugasan dalam buku Menulis atau jika tiada sila jawab dalam testpad 📖📑
--Setelah siap, ambil gambar jawapan dan PM cikgu di Whatsapp.
--Selamat belajar secara norma baharu! Jaga diri, basuh tangan secara kerap dan tidak perlu keluar rumah jika tiada urusan yang penting #DudukDiRumah 🏡