Aspek Tatabahasa
Arahan: Salin nota di bawah dalam buku Tatabahasa.
Kata Ganti Nama
- Kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan kata nama orang.
- Jenis-jenis kata ganti nama diri:
- Kata ganti nama diri pertama - aku, beta, daku, hamba, kami, kita, patik, saya
- Kata ganti nama diri kedua - anda, awak, dikau, engkau, kalian, kamu, tuanku
- Kata ganti nama diri ketiga - baginda, beliau, dia, ia, mereka
Contoh ayat:
- Keris di atas meja itu kepunyaan hamba.
- Kami makan mi kari petang semalam.
- Awak mesti hadir ke sekolah esok untuk menerima anugerah.
- Engkau perlu menyiapkan tugasan itu.
- Beliau ialah tokoh korporat yang amat disegani.
- Dia menang dalam pertandingan mencipta logo persatuan.
Akronim
- Akronim ialah perkataan yang dihasilkan melalui percantuman bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian perkataan itu boleh terdiri daripada huruf, suku kata atau sebahagian daripada perkataan.
- Jenis-jenis akronim
1. Cantuman huruf awal perkataan
Sebagai contoh: ADUN - Ahli Dewan Undangan Negeri, UPM - Universiti Putra Malaysia.
2. Cantuman huruf dan suku kata awal perkataan
Sebagai contoh: Proton - Perusahaan Otomobil Nasional, Mara - Majlis Amanah Rakyat.
3. Cantuman suku kata awal perkataan
Sebagai contoh: kugiran - kumpulan gitar rancak, pawagam - panggung wayang gambar.
4. Cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya
Sebagai contoh: asbut - asap kabut, debunga - debu bunga, jentolak - jentera tolak.