Isnin, 23 Mac 2020

(3 ALIF) Tajuk: Semangat Kesukarelawan

Kemahiran: Menulis


Arahan:
Salin tips di bawah di dalam buku tulis.

Tips menjawab soalan ringkasan:
1. Tiada perenggan pendahuluan dan kesimpulan. 
2. Tulis ringkasan dalam satu perenggan.
4. Kenal pasti topik yang dibincangkan dalam petikan.
3. Hanya perlu menyatakan isi-isi penting. Tidak perlu contoh.
4. Setiap isi penting perlu dimulakan dengan penanda wacana. 
5. Tulis isi penting yang dibaca dengan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
6. Ringkasan mestilah tidak melebihi 80 patah perkataan.

_______________________________________________________________________

Arahan:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah menyemai semangat kesukarelawan. Panjang ringkasan anda mestilah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan untuk menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


       Dalam era globalisasi yang amat kuat gelombangnya ini, kefahaman tentang kesukarelawanan dapat dilihat daripada tiga ciri asas. Pertama, khidmat yang diberikan tanpa mengharapkan ganjaran. Kedua, khidmat yang dibuat menurut kerelaansi pelaku. Ketiga, khidmat itu dapat memanfaatkan masyarakat berkenaan secara langsung. Jelaslah, aktiviti kesukarelawanan ini dapat menjanjikan pengalaman bermakna kepada pelakunya.

      Dalam kalangan masyarakat Melayu, kesukarelawanan lumrahnya dikaitkan dengan amalan bergotong-royong. Semangat sukarela harusnya dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil. Aktiviti ini hasrus dimuliakan di rumah dengan menggalakkan ahli keluarga menjaga persekitaran rumah agar sentiasa bersih. Kerja sukarela berbeza daripada kerja amal. Kerja amal melibatkan satu pihak memberi dan satu pihak lagi mendapat manfaat, sedangkan kesukarelawanan merupakan suatu gabungan iaitu kedua-dua pihak akan mendapat faedah. Oleh sebab itu, murid-murid sekolah perlu digalakkan untuk melibatkan diri dalam mana-mana persatuan yang diminati agar mereka cenderung ke arah aktiviti kesukarelaan apabila meningkat dewasa.

       Di Malaysia, kesukarelawanan sering kali dikaitkan dengan badan sukarela atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Oleh hal yang demikian, penyertaan pelajar sekolah dalam aktiviti kokurikulum dapat memupuk minat mereka untuk menyertai aktiviti sukarela yang dianjurkan oleh badan-badan sukarela yang aktif pada peringkat nasional.

       Semangat kesukarelawanan telah mampu membawa kita ke arah kemerdekaan dan kemakmuran negara. Oleh sebab itu, semangat kesukarelawanan haruslah diteruskan dalam kalangan pelajar universiti dan kolej. Hal ini demikian kereana kerja sukarela dapat menjadi landasan buat pelajar untuk menunjukkan kemampuan mereka dalam membantu masyarakat sekali gus meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Badan sukarela seperti Yayasan Salam dan Mercy Malaysia semakin bergiat aktif pada peringkat global. Badan-badan sukarela ini menggunakan laman sesawang dan juga media sosial untuk menarik minat belia menyertai kerja-kerja sukarela. Oleh sebab itu, para belia harus memilih badan-badan sukarela yang diminati dan bersesuaian dengan bidang tugas mereka.

       Semangat kesukarelawanan ini dapat disemai apabila terdapat pihak swasta yang berminat untuk menyumbang dana kepada badan-badan sukarela yang bergiat aktif menerusi pembiayaan program khidmat sukarela. Konklusinya, semangat kesukarelawanan ini perlu disuburkan dalam kalangan masyarakat kerana keprihatinan sosial ini dapat membantu kelangsungan hidup masyarakat yang memerlukan.

(Dipetik dan diubah suai daripada " Menjanakan Semangat  Kesukarelawanan,
Dewan Siswa, September 2017)

Peringatan!
Anda tidak perlu menulis semula petikan di dalam buku tulis.